Pembedahan Tulang Belakang Adalah Selamat dan Berkesan : Realiti atau Persepsi
- Ex Tax: RM8.00
- Author: Mohd Imran Yusof
- Availability: In Stock
- e-ISBN: 9789674615239
- Book Type: E-book
- Format: Flipbook
Sememangnya menjalani pembedahan tulang belakang adalah suatu pengalaman yang sukar dalam hidup seseorang. Ramai pesakit yang belum melalui pengalaman ini merasa takut dan sesetengahnya mempunyai persepsi yang negatif terhadap pembedahan ini. Hal ini adalah sesuatu yang perlu difahami kerana persepsi yang salah akan membawa kepada implikasi yang negatif kepada pesakit, masyarakat dan seterusnya membantutkan perkembangan teknik rawatan tulang belakang di negara ini. Persepsi ini adalah sesuatu yang agak subjektif tetapi perlu diberi perhatian. Realitinya, risiko komplikasi berkaitan pembedahan tulang belakang adalah sangat rendah.
Pembedahan tulang belakang adalah satu kaedah yang terbukti berkesan untuk rawatan penyakit tulang belakang. Penggunaan implan seperti skru pedikel yang paling banyak dipasang pada tulang belakang semasa pembedahan adalah selamat dan berkesan untuk rawatan penyakit tulang belakang. Skru pedikel ialah ‘workhorse’ semua pakar bedah tulang belakang di seluruh dunia yang digunakan untuk memegang tulang belakang dengan kuat untuk tujuan penstabilan. Ia biasanya diperbuat daripada logam titanium yang tidak mudah patah, serasi dengan persekitaran badan manusia (biokompatibel), tidak menyebabkan jangkitan kuman dan berkesan untuk tujuan penstabilan tulang belakang. Hujung skru adalah berbentuk tirus tetapi tidak tajam bagi mengelakkan kecederaan sekiranya ia tersasar dan menusuk struktur-struktur lembut berhampiran tulang belakang semasa skru dimasukkan ke dalam pedikel tulang. Bahagian pangkal skru mempunyai slot khusus untuk memegang rod dan nat.
Kajian morfologi pedikel pesakit remaja dan dewasa populasi di Malaysia adalah berbeza dalam semua parameter, terutamanya bagi pesakit lelaki. Walau bagaimanapun, penggunaan skru pedikel bersaiz antara 3.5 hingga 6.5 mm dengan kepanjangan 16 hingga 45 mm adalah selamat untuk populasi di Malaysia umumnya, untuk kedua-dua kategori remaja dan dewasa.
Pakar bedah telah dilatih bertahun-tahun dalam bidang berkenaan dan sentiasa dipantau oleh pihak pengurusan hospital. Sebarang kejadian negatif yang berkaitan pembedahan ke atas pesakit akan dilaporkan dan tindakan yang bersesuaian akan diambil oleh pihak yang berkenaan, termasuk melarang doktor tersebut melakukan pembedahan ke atas pesakit lain. Hal ini kerana keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan pihak hospital. Walaupun kos pembedahan agak tinggi kerana melibatkan penggunaan implan dan alat-alat bantuan pembedahan yang lain, tetapi trend kos rawatan adalah semakin menurun. Kesimpulannya, pembedahan tulang belakang untuk kebanyakan penyakit tulang termasuklah kecederaan patah, degeneratif, jangkitan dan kelainan tulang belakang adalah selamat dan berkesan.